DAP jumpa Azalina, sedia sokong MP Pengerang itu sebagai Speaker

0
2
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said keluar dari Bangunan UMNO selepas selesai mesyuarat pencalonan Perdana Menteri malam ini.

DAP hari ini bertemu dengan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman bagi membincangkan cadangannya mengenai pilihan raya pecat atau “recall election” sebagai sebahagian daripada pakej Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti.

DAP diwakili Timbalan Pengerusi Nasionalnya yang juga Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo.

Menerusi kenyataan hari ini, DAP berkata ia sedia berbincang lebih jauh dengan Azalina jika beliau serius untuk mengemukakan namanya menggantikan Yang diPertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

Kata DAP, ia bagi mengembalikan imej dan kredibiliti Parlimen yang rosak teruk.

“Parlimen tidak boleh terus hilang atau bergerak dalam vakum politik dengan Speaker terus memainkan peranan untuk hanya patuh dan bersetuju semata-mata bagi mempertahankan Perdana Menteri.

“Sekiranya Parlimen dibenarkan untuk memenuhi mekanisme semak dan imbang serta bersidang semasa Darurat, jawapan mungkin telah dapat diberikan mengenai Covid-19 dan krisis ekonomi yang dapat mengurangkan kenaikan rekod tertinggi jangkitan dan kematian,” kata kenyataan itu.

Sehubungan itu DAP berkata, Azalina perlu menyusun rancangannya tentang bagaimana untuk mengelak Parlimen menjadi sekadar “rubber-stamp” kepada Perdana Menteri semata-mata dan mengangkat ketinggian Parlimen seperti termaktub dalam Perlembagaan.

“Rakyat mahu Parlimen menjadi institusi demokrasi utama yang memberikan perbezaan positif dalam kehidupan rakyat Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here