Tun M jemput pelawan rasuah sertai Pejuang

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

PARTI Pejuang Tanahair (Pejuang) yang diasaskan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini membuka pendaftaran bagi mereka yang berminat menyertai parti itu.

Dr Mahathir berkata, Pejuang menjemput rakyat yang sedar akan bahaya rasuah untuk menyokong atau menyertai perjuangannya.

“Memang tidak mudah melawan budaya rasuah. Tetapi jika tidak ada sedikitpun usaha membanteras rasuah, penyalahgunaan wang, salah guna kuasa akan berkembang dengan lebih cepat lagi, lebih teruk lagi.

“Jika Pejuang diberi sokongan dan peluang, sedikit sebanyak rasuah dan salah guna kuasa boleh dikurangkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menerusi hantaran yang sama, Ahli Parlimen Langkawi itu menyertakan pautan borang tunjuk minat bagi mereka yang ingin bersama Pejuang.

Dr Mahathir mendakwa, tidak akan ada kedaulatan undang-undang dalam negara yang kerajaannya terdiri dari penjenayah. 

“Mungkin ada yang berpendapat kerajaan penjenayah seperti ini tidak mungkin berlaku di negara kita. Tetapi ia sudah pun berlaku dan penjenayah sudah pun dibicara dan didapati bersalah apabila rakyat pilih kerajaan rakyat.

“Sesungguhnya di Malaysia sudah berlaku di mana sebuah kerajaan pilihan rakyat dijatuhkan dan sebuah lagi hampir jatuh kerana ahli parti kerajaan dibeli. 

“Besar kemungkinan di masa hadapan penjenayah kaya akan beli kerajaan dengan berjuta Ringgit dan pemerintahan kuku besi didiri oleh penjenayah,” katanya.

Beliau berkata, atas kesedaran kemungkinan itulah maka Pejuang ditubuh. 

“Kita akan tentukan pemimpin Pejuang akan terdiri dari pejuang-pejuang anti-rasuah dan anti-politik wang.

“Kami juga akan berusaha membantu rakyat dalam bidang perniagaan dan perusahaan yang mengikut aturan-peraturan dan bersih.

“Kami seru kepada rakyat supaya sertai kami atau sokong kami dalam PRU,” katanya.-Malaysiapost