Saya dah boleh ‘move on’, lega! – Reezal Merican

0
3

SAYA dah boleh move on lepas ni. Beralih sepenuhnya kepada tugasan baharu saya, demikian luahan bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Reezal Merican meluahkan perasaannya itu dalam satu rakaman video di Facebook sebaik sahaja Sukan Paralimpik Tokyo 2020 berakhir hari ini.

“Lega! Segala yang saya fikirkan tentang Olimpik dan Paralimpik telah pun berakhir. Namun sukan selamanya tetap di hati.

“Pada 23 Julai 2021 lalu bermulanya perjuangan Kontinjen Malaysia di temasya sukan terbesar dunia, iaitu sukan Olimpik edisi Tokyo 2020 dan diikuti temasya sukan Paralimpik Tokyo 2020 pada 24 Ogos 2021.

“Hari ini, berakhirlah misi Kontinjen Paralimpik Malaysia membawa nama negara kita ke persada dunia.

“Ya… saya cuba sedaya upaya untuk sentiasa memberi liputan dan info aksi-aksi atlet kita. Sewaktu saya berada di bumi Tokyo bersama atlet, itulah peluang saya untuk menyampaikan semangat dan sokongan seluruh rakyat Malaysia kepada mereka,” katanya.

Reezal Merican bersama atlet-atlet berbasikal negara tiba di KLIA bulan lalu dari Tokyo 2020 selepas berakhirnya temasya Sukan Olimpik 2020.

“Apatah lagi dalam keadaan temasya yang tidak ada penonton. Yang ada hanyalah rakan-rakan atlet, pegawai dan jurulatih sahaja untuk bersorak membangkitkan semangat.

“Saya akui belum ‘move on’ apabila saya diberi amanah ke kementerian baharu.

“Saya tetap mahu berikan sokongan saya kepada atlet Paralimpik kerana itu janji saya kepada mereka. Itu juga azam diri saya sendiri untuk menghargai perjuangan mereka.

“Alhamdulillah kontinjen Paralimpik telah mempamerkan aksi yang cukup hebat dan memukau! Pencapaian tiga pingat emas dan dua pingat perak adalah pencapaian terbaik dalam sejarah penyertaan kontinjen Paralimpik negara! Lebih baik daripada Rio 2016,” luahnya lagi.

Lebih manis menurut Reezal Merican yang kini merupakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, temasya kali ini menyaksikan pencapaian kontinjen negara meningkat apabila meraih pingat daripada empat jenis sukan iaitu olahraga, badminton, boccia dan powerlifting berbanding Rio 2016 yang tertumpu kepada sukan olahraga sahaja.

“Badminton dan boccia kini menjadi sinar baharu penyertaan negara di Paralimpik. Sebelum ini, sandaran pingat hanya dari sukan olahraga, powerlifting dan memanah sahaja. This is a remarkable milestone. Tahniah badminton dan boccia!

“Juga, penyertaan negara kali ini disulam satu rekod baharu Paralimpik dalam acara powerlifting oleh Bonnie Bunyau dengan angkatan 228 kilogram! dan, pastinya jika penyertaan Ziyad diambil kira, kita register satu rekod dunia!,” katanya.

Reezal Merican turut merakamkan penghargaan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung mahu pun tidak langsung dalam menjayakan misi Paralimpik Tokyo 2020.

“Apa pun, saya dengan rendah diri ingin rakamkan penghargaan, terima kasih dan tahniah kepada semua atlet kita, Olimpik dan Paralimpik.

“Anda semua wira negara. Jujur, saya berasa kerdil apabila melihat kesungguhan, kegigihan dan pencapaian anda semua.

“Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang terus menerus memberikan sokongan kepada atlet kita. Begitu juga rakan-rakan media, sports desk yang sentiasa berusaha memberikan liputan terbaik untuk tatapan rakyat Malaysia.

“Terima kasih juga buat Majlis Olimpik Malaysia, Majlis Paralimpik Malaysia dan persatuan-persatuan sukan. Teruskan dengan usaha untuk bawa atlet kita ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here