PRN Sabah: Bilik gerakan, ceramah kempen dibenarkan

0
3

BILIK gerakan dibenarkan beroperasi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dengan syarat berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan raya (SPR).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri berkata, ceramah dibenarkan sewaktu tempoh kempen tetapi perlu memastikan penjarakan fizikal dan mengikut kapasiti tempat.

“Garis Panduan dan prosedur operasi standard (SOP) PRK Chini dan Slim akan digunapakai dalam PRN Sabah.

“SOP yang tersedia akan digunapakai seperti saringan suhu badan dan kawalan kehadiran pengundi untuk memastikan penjarakan fizikal terpelihara,” katanya dalam sidang media hari ini.

Proses penamaan calon bagi PRN Sabah berlangsung Sabtu ini manakala pengundian pada 26 September.

Mengenai sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini di Sibu, Ismail Sabri berkata kerajaan membuat ketetapan menghadkan jumlah jemputan kepada 500 orang sahaja bagi memastikan penjarakan fizikal.

Katanya, acara sambutan itu akan mengikut SOP acara langsung yang telah ditetapkan sebelum ini termasuk kawalan pintu masuk yang ketat.  – Malaysiapost