Keputusan tarik balik 29 tuduhan berasas fakta – SPRM

0
3

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan keputusan menarik balik 29 tuduhan terhadap bekas Ahli Lembaga Pengarah Felda, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid oleh pihak pendakwaan adalah berasaskan fakta yang disahkan dari siasatan lanjut.

SPRM dalam satu kenyataan hari ini berkata perkara tersebut bermula apabila tertuduh mengemukakan representasi dan pernyataan pembelaannya di bawah Seksyen 62 Akta SPRM 2009 semasa perbicaraan berlangsung.

Katanya, susulan itu, pihaknya telah menjalankan siasatan lanjut berkenaan pembelaan tersebut.

“Berdasarkan dapatan baharu menerusi keterangan dikemukakan, tertuduh berjaya membuktikan beliau telah membayar balik wang yang didakwa sebagai rasuah itu sebelum siasatan dimulakan. Saksi utama turut mengesahkan perkara itu sebagai wang pinjaman.

“SPRM telah merujuk kembali kes berkenaan kepada Pejabat Peguam Negara dan diputuskan perbicaraan tidak diteruskan berdasarkan perkembangan terbaharu siasatan tersebut. Keputusan itu dibuat kerana keterangan saksi utama tidak konsisten

“Pihak pendakwaan telah memaklumkan kepada Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berhubung penarikan balik kesemua 29 pertuduhan itu, semasa prosiding perbicaraan kes di hadapan Hakim Suzana Hussin pada 21 Mei 2021,” kata kenyataan itu hari ini.

Rabu lalu media melaporkan Noor Ehsanuddin, 58, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 29 pertuduhan rasuah, selepas pihak pendakwaan menarik balik kesemua pertuduhan itu.

Pada 12 Februari 2019 Noor Ehsanuddin didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 14 petuduhan menerima rasuah bagi bayaran ansuran kenderaan berjumlah RM23,540.68 daripada sebuah syarikat percetakan, Karya Hidayah Sdn Bhd pada 2014 dan 2015.

Di Mahkamah Johor Bahru pula, tertuduh didakwa atas 10 pertuduhan termasuk menerima suapan wang tunai bernilai RM50,000 dan sebidang tanah daripada syarikat sama, pada 2013 dan 2014.

Tertuduh turut didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas lima pertuduhan menerima benda berharga iaitu penyelenggaraan dua buah kenderaan dan yuran guaman bagi pembelian tanah bernilai RM12,707.60. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here