Pencemaran bau Sungai Semenyih: Tindakan tegas akan diambil

0
2

MENTERI Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memberi jaminan bahawa tindakan tegas akan diambil dengan segera terhadap pihak yang menyebabkan berlakunya pencemaran bau di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih.

Beliau berkata, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bersama pihak polis akan bertindak tegas termasuk dari segi undang-undang.

“Menerima maklumat terbaru daripada Air Selangor. LRA Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas ekoran ekoran terdapat pencemaran bau di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir. Sebanyak 463 kawasan menghadapi gangguan bekalan air tidak berjadual.

“Pihak SPAN, JAS, Air Selangor dan LUAS bersama pihak polis akan bertindak terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab melepaskan efluen ke dalam longkang. Tindakan tegas termasuk tangkapan akan dibuat dengan segera. Insya-Allah,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Terdahulu, tidak sampai 48 jam menarik nafas lega selepas bekalan air pulih, penduduk di 463 kawasan di lima wilayah sekali lagi terpaksa berdepan dengan masalah sama akibat LRA Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas sepenuhnya jam 5.15 petang tadi.

Air Selangor menerusi kenyataan di Facebooknya, berkata LRA berkenaan terpaksa dihenti tugas sepenuhnya berikutan insiden pencemaran bau pada sumber air mentah di Sungai Semenyih.

Katanya, henti tugas LRA tersebut dijangka akan menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual di 463 kawasan di lima (5) wilayah Air Selangor iaitu Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (194 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here