Ziyad mohon netizen henti kecam atlet Ukraine

0
2

“SAYA harap seluruh rakyat Malaysia jangan kecam kawan saya dan juga pemenang pingat emas dari Ukraine,” kata atlet para lontar peluru negara, Muhammad Ziyad Zolkefli.

Atlet itu yang tiba di tanah air pada lewat petang tadi meminta rakyat Malaysia berhenti mengecam atlet Ukraine, Maksym Koval yang memenangi pingat emas acara kategori F20 pada Temasya Temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Muhammad Ziyad juga menyifatkan Koval sebagai rakannya dan berharap kecaman daripada rakyat Malaysia terhadap atlet tersebut dapat dihentikan kerana memberi imej negatif kepada negara.

Katanya, kecaman yang diberikan boleh memberi tekanan dan adalah tidak adil buat atlet Ukraine itu.

“Saya harap semua faham, dia kategori macam saya, dia pun ada perasaan macam saya, dia pun lemah macam saya, kategori kami sama.

“Apabila melihat dia (Koval) kena macam itu, saya tidak tahu situasinya macam mana (perasaan). Kalau saya dikecam begitu, saya dah sebak dan sedih.

“Apatah lagi dengan dia yang memberi komen negatif menyentuh aspek fizikal. Semua tindakan itu cukup negatif, kalau boleh kita sebarkan benda positif, insya-Allah kita akan jadi lebih maju,” kata kepada media hari ini.

Pada perkembangan sama, Muhammad Ziyad, 31, mengakui sangat sedih kehilangan pingat emas di Tokyo, namun tidak akan berputus asa dan mahu berusaha lebih keras bagi memecah rekod dunia pada aksi akan datang.

“Saya sebenarnya sedih…saya sangat sedih sebenarnya…tetapi saya mahu tunjukkan yang saya juga kuat sebab benda ini kita sudah buat sedaya upaya…saya sudah berlatih sehabis baik.

“Saya sudah buat yang terbaik. Saya telah buktikan kerana latihan yang dijalankan bukan untuk tempoh setahun dua, ditambah pula dengan penangguhan acara paralimpik ini lagi.

“Saya tidak pernah tidak bawa balik pingat untuk Malaysia, saya biasanya pergi bertanding dan saya akan sentiasa banggakan Malaysia.

“Cuma kali ini, rasanya agak lain kerana saya selalu bawa balik pingat, kali ini saya bawa rasa kesedihan dan kekecewaan,” katanya.

Mengulas lanjut, atlet itu berkata mahu menjadikan apa yang terjadi di Tokyo sebagai pengajaran dan mahu bangkit untuk beraksi lebih cemerlang di masa akan datang.

Terdahulu, rayuan Malaysia untuk mengekalkan pingat emas yang diraih Muhammad Ziyad pada Temasya Paralimpik Tokyo 2020 Selasa lalu, ditolak dalam mesyuarat Chief de Mission (CDM).

Muhammad Ziyad mencatatkan 17.94 meter (m) pada lontaran ketiga sekali gus memecah rekod dunia 17.29m miliknya sendiri yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Para Dunia di London 2017 sebelum ia dibatalkan berikutan bantahan dibuat kontinjen Ukraine. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here