2,500 guru enggan divaksin tidak dibenar mengajar bersemuka

0
2

MENTERI Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin memaklumkan 2,500 guru yang enggan menerima vaksin Covid-19 tidak akan dibenarkan mengajar secara bersemuka apabila sesi persekolahan dibuka pada 3 Oktober nanti.

Beliau berkata, tindakan itu dibuat bagi memastikan sesi persekolahan yang akan dibuka kelak selamat untuk kumpulan pelajar, guru dan pihak pengurusan sekolah.

Radzi menjelaskan, setakat ini pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengenal pasti 2,500 orang guru yang enggan menerima vaksin di seluruh negara atas faktor kesihatan serta sebab-sebab lain seperti tidak yakin dan sebagainya.

“Apabila sekolah dibuka kelak, guru yang tidak divaksinkan ini tidak boleh mengajar secara bersemuka di dalam kelas serta berinteraksi dengan pelajar.

“Namun begitu, Kementerian Pendidikan akan mengeluarkan garis panduan tugasan untuk guru yang tidak divaksin ini dan pada masa sama, kita sedang berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkenaan tindakan yang boleh diambil terhadap guru yang masih belum divaksinkan ini,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Jelas Radzi, kementeriannya akan terus mengadakan sesi libat urus bersama kumpulan guru berkenaan.

Menurutnya, tindakan yang diambil itu adalah mengambil kira keadaan semasa terutama menjelang pembukaan sekolah kelak.

“Jumlah ini tidak ramai dan hanyalah segelintir daripada lebih 400,000 guru di negara ini jadi kita hendak jaga anak kita di sekolah supaya ibu bapa yakin persekitaran di sekolah itu selamat untuk anak kita.

“Ada guru yang tidak dapat divaksin ini atas masalah kesihatan namun ada juga guru yang memberi alasan seperti tidak yakin akan keberkesanan vaksin ini menyebabkan mereka menolak untuk menerima vaksin ini serta pelbagai alasan lagi,” ujarnya lagi.

Justeru, beliau meminta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Pusat Pendidikan Daerah (PPD) meneliti alasan yang diberikan guru berkenaan serta dalam masa sama menjelaskan keperluan vaksin bagi memastikan sesi persekolahan selamat. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook/Dr Radzi Jidin

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here