Saifuddin pengerusikan mesyuarat pertama Majlis Perundingan Dasar Luar Negeri

0
2

KEMENTERIAN Luar Negeri memaklumkan telah menubuhkan Majlis Perundingan Dasar Luar Negeri (Consultative Council on Foreign Policy (CCFP) dan mesyuaratnya yang pertama telah diadakan pada hari ini. 

Mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah dan dianggotai 15 ahli, termasuk Timbalan Menteri Luar Negeri Kamarudin Jaffar, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, dua pegawai kanan kementerian, serta 10 wakil daripada pelbagai bidang.

Saifuddin berkata, penubuhan majlis perundingan tersebut sejajar dengan seruan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya semua ahli jemaah menteri membuktikan pencapaian dalam 100 hari pertama.

“Majlis Perundingan ini berfungsi sebagai satu wadah untuk menyalurkan pandangan serta input daripada anggotanya di dalam proses penggubalan dasar-dasar luar negeri yang berkait rapat dengan kepentingan negara. 

“Penubuhan CCFP adalah selaras dengan pendekatan terbuka dan bersifat perundingan (syura) di dalam proses penggubalan Dasar Luar Negeri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menjelaskan, pelantikan ahli-ahli CCFP adalah berdasarkan pengetahuan serta pengalaman mereka yang mendalam di dalam bidang masing-masing. 

Justeru, katanya, gabungan kepakaran daripada pihak kerajaan dan bukan kerajaan berupaya untuk menyumbang ke arah proses penggubalan dasar luar negeri yang pragmatik serta berdaya tahan bagi menghadapi cabaran semasa, terutamanya susulan penularan pandemik Covid-19. 

“Melalui kaedah ini juga, ia diharap dapat turut memastikan Dasar Luar Negeri selari dengan konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai titik tumpunya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here