DEWAN Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) menyarankan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin melaksanakan segera perubahan strategi baharu sebelum memasuki fasa endemik bagi mengekang penularan Covid-19.
Ketuanya, Shahir Adnan berkata, peluang kedua yang diberikan ini juga diharap tidak disia-siakan oleh Khairy agar negara dapat segera keluar daripada pandemik Covid-19.
“Jangan tergesa-gesa untuk mengumumkan status endemik sekiranya kes harian dan kematian harian masih berada pada kadar yang tinggi.
“Penanda aras ini harus diberikan keutamaan agar Covid-19 perlu berada pada kadar yang stabil dan rendah.
“Memang tidak dinafikan bahawa realiti hari ini, Covid-19 bakal menjadi sebahagian daripada masyarakat dan norma baharu perlu diterapkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 masih lagi diteruskan dengan pembukaan sektor lain secara berperingkat bagi fasa Pemulihan 1,2,3 dan 4.
Bagaimanapun, katanya, strategi tersebut masih gagal menurunkan kes harian dan kes kematian harian.
“Negara kita telah melaksanakan PKP 3.0 sejak 12 Mei 2021 hingga tiada penghujung.
“Hari ini kita sudah dibataskan pergerakan selama 114 hari atau 3 bulan 22 hari. Namun begitu, fakta dan sains menunjukkan kita belum berjaya menurunkan kes dengan strategi yang sama.
“Bandingkan negara lain yang melaksanakan 14 hari + 14 hari kawalan pergerakan yang ketat, seperti di New Zealand, sehingga mereka dapat menurunkan kes harian kepada angka sifar. Kali ini, mereka juga berjaya mengekang penularan varian Delta,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, berdasarkan statistik dan data Covid-19 bagi populasi setiap sejuta orang, Malaysia masih mengatasi negara serantau bagi kadar kes harian dan kes kematian harian, termasuklah jika dibandingkan dengan purata statistik dunia.
“Pada masa yang sama, kadar vaksinasi bagi setiap populasi 100 orang juga sudah menurun, walaupun negara kita masih berada antara di kelompok tertinggi.
“Kadar penurunan vaksinasi harian dan kadar peningkatan jangkitan kes harian menunjukkan kita bakal berdepan masalah lebih serius dalam tempoh 2 hingga 3 minggu akan datang,” katanya.
Beliau berkata, walaupun Perdana Menteri menyasarkan seratus hari untuk menilai prestasi setiap Menteri, DPIM berpandangan Menteri Kesihatan perlu bertindak cepat kerana Covid-19 melibatkan nyawa rakyat.
“Ia kerana dalam tempoh 7 hari yang lepas, angka kematian harian Covid-19 adalah 1,980 orang dengan purata 283 kematian sehari.
“Sebagai ilustrasi, angka kematian harian ini umpama tujuh pesawat Airbus A330 yang penuh penumpang telah terhempas dalam tempoh seminggu,” katanya.
Kelmarin, Khairy mengumumkan fasa endemik di Malaysia dijangka bermula pada akhir Oktober ini, dengan kadar imuniti kelompok diharap mencapai 80 peratus.
Labuan dan Sarawak sudah mencapai fasa endemik, selain negara lain yang kebanyakannya sudah beralih ke fasa itu dan pengenalan norma baharu untuk hidup dengan lebih sihat serta selamat.
Katanya, rakyat juga perlu menerima hakikat sekalipun negara berjaya mengawal pandemik, semua pihak perlu menerima kenyataan akan tiba masanya nanti Covid-19 menjadi endemik. – Malaysiapost

