Hampir 66 peratus individu dewasa lengkap vaksinasi

0
2
Petugas menyuntik vaksin AstraZaneca kepada seorang penerima vaksin di PWTC.

SEBANYAK 35,519,754 dos vaksin Covid-19 membabitkan dos tunggal dan dua dos telah diberikan, setakat semalam.

Angka itu menjadikan peratusan populasi dewasa keseluruhan penduduk Malaysia yang sudah divaksinasi adalah 65.9 peratus.

Berdasarkan infografik dikongsi Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) di Facebook, jumlah individu yang menerima satu dos vaksinasi adalah 20,115,233 manakala dos kedua adalah 15,429,300 orang.

Peratusan populasi keseluruhan yang menerima satu dos vaksin Covid-19 setakat ini adalah 61.6 peratus dan bagi yang lengkap dua dos vaksin pula adalah 47.2 peratus.

Populasi dewasa pula yang menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksinasi adalah 85.9 peratus.

Lembah Klang dan Labuan kini merekodkan peratusan melebihi 90 peratus bagi populasi yang sudah lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19 iaitu Labuan (94.7 peratus) dan Lembah Klang (94.1 peratus).

Sarawak pula mencatatkan 87.2 peratus dan diikuti Negeri Sembilan 80.9 peratus populasi dewasa yang sudah lengkap dua dos vaksin Covid-19.

Sementara itu, vaksinasi harian semalam merekodkan 369,280 pemberian dos dengan 181,635 daripadanya adalah dos pertama manakala 187,645 telah melengkapkan penerimaan dos. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here