Melaka beralih ke Fasa 2, Negeri Sembilan Fasa 3 PPN

0
2

PERDANA MENTERI Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini memaklumkan Melaka akan beralih kepada Fasa 2 dan Negeri Sembilan ke Fasa 3 bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula Sabtu ini.

Beliau berkata, peralihan dua negeri tersebut di bawah PPN adalah berdasarkan keputusan Sidang Khas Pengurusan Pandemik Covid-19.

Menerusi sidang khas itu juga, mesyuarat bersetuju untuk membuka sektor pelancongan di beberapa destinasi di bawah program “travel bubble” (gelembung pelancongan) berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan.

“Sebagai permulaan, Pulau Langkawi telah dipilih sebagai projek rintis untuk dibuka kembali kepada pelancong tempatan bermula 16 September. Destinasi pelancongan yang lain akan dibenarkan beroperasi apabila kadar vaksinasi lokaliti mencapai 80 peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, selain itu mesyuarat juga telah sebulat suara bersetuju agar sidang khas tersebut dikenali sebagai Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik dan bakal melibatkan wakil daripada parti pembangkang.

Katanya, pendekatan itu merupakan salah satu usaha kolektif untuk melibatkan semua pemegang taruh bagi memastikan pemulihan negara berjalan seperti yang telah dirancang, seiring dengan semangat Keluarga Malaysia.

Perdana Menteri juga turut menzahirkan rasa syukur selepas buat pertama kalinya setelah beberapa bulan kadar kebolehjangkitan (R-naught) seluruh negara berada di bawah 1.0.

“Alhamdulillah, hari ini buat pertama kalinya selepas beberapa bulan, kadar purata kebolehjangkitan (R-naught) seluruh negara berada di bawah 1.0, dan saya yakin kita berada di landasan yang tepat ke arah pemulihan negara.

“Berdasarkan unjuran data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), purata kadar vaksinasi di setiap negeri dijangka mencapai 80 peratus bagi populasi dewasa menjelang penghujung September 2021. Saya percaya kadar vaksinasi 100 peratus akan dicapai akhir Oktober 2021, sekali gus memberi perlindungan kepada Keluarga Malaysia,” ujarnya.

Sementara itu, Ismail Sabri menjelaskan bahawa rakyat seluruh Keluarga Malaysia perlu bersedia untuk hidup bersama Covid-19 sebagai endemik selepas Oktober apabila suntikan vaksin dijangka selesai sepenuhnya.

Justeru, katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diminta untuk membentangkan strategi baharu pandemik dan endemik yang bersesuaian selain daripada pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) semata-mata.

“Saya menyambut baik saranan mengenai usaha untuk melakukan perubahan kepada tingkah laku (behavioural change) seperti yang diumumkan KKM pada 1 September 2021. Keluarga Malaysia perlu sedar, akhirnya kita terpaksa hidup bersama Covid-19 seperti yang berlaku di seluruh dunia,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here