Kes buli, tiga pelajar direman

0
3

TIGA pelajar berusia 17 tahun yang membelasah rakannya di asrama sebuah sekolah di Tanah Merah, Kelantan direman empat hari bermula hari ini

Perintah  reman hingga Ahad ini terhadap ketiga-tiga suspek berusia 17 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Mohd Zul Zakiquddin Zulkifli.

Mereka direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Berita Harian melaporkan, kesemua pelajar tingkatan lima itu tiba di pekarangan Mahkamah Majistret dengan menaiki lori polis pada jam 9 pagi tadi.

Dalam kejadian petang kelmarin, seorang pelajar tingkatan satu dipukul tiga pelajar sekolah sama yang dikatakan berang kerana dipermainkan dengan gurauan mahu belanja makan.

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafein Mamat, dipetik berkata justeru mangsa berusia 13 tahun itu membuat laporan polis, semalam, sebelum tangkapan dilakukan.

Berdasarkan rakaman video berdurasi 25 saat yang tular sejak semalam, mangsa dipukul bertubi-tubi, termasuk ditumbuk dan disepak, dalam insiden itu. -Malaysiapost