JKNJ siasat wanita bersalin sendirian di HSI

0
2

JABATAN Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) akan menjalankan siasatan berhubung isu tular di Facebook pada 31 Julai lalu, mengenai pesakit wanita yang mendakwa melalui proses bersalin bersendirian di dewan bersalin Hospital Sultan Ismail (HSI).

Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr Aman Rabu menerusi kenyataan malam tadi memaklumkan pesakit berusia 36 tahun itu mengandung anak keempat dengan usia kandungan 39 minggu.

Katanya, pesakit telah hadir ke bilik saringan pada jam 5.33 pagi, 23 Julai kerana mempunyai tanda-tanda awal hendak bersalin dan dia adalah kontak rapat kepada suami yang positif Covid-19.

“Pesakit telah diperiksa oleh pegawai perubatan dan didapati beliau di peringkat awal kelahiran (bukaan pangkal rahim 3 sentimeter) dan dimasukkan ke dalam bilik isolasi jam 10.18 pagi sementara menunggu keputusan ujian Covid-19 PCR.

“Pesakit diletakkan di dewan bersalin (bilik nombor dua) dengan pintu bilik sentiasa ditutup kerana merupakan kes positif Covid-19 dan bilik tersebut berada agak jauh dari kaunter jururawat,” katanya.

Dr Aman menjelaskan, pegawai perubatan dan jururawat telah ‘donning’ dan melakukan pemeriksaan pada jam 4.26 petang di mana hasil ujian keputusan PCR Covid-19 pesakit ini didapati positif, seterusnya keputusan untuk melahirkan anak melalui pembedahan telah dibuat oleh pakar bertugas atas panggilan.

Katanya, pemeriksaan ketika itu mendapati bukaan pangkal rahim adalah empat sentimeter dan mengalami kontraksi yang tidak teratur, seterusnya pesakit telah dipersiapkan untuk menjalani pembedahan.

“Proses bersalin pesakit berlaku di luar jangkaan di mana lebih awal dari tempoh jangkaan yang dianggarkan enam jam lagi. Pesakit telah bersalin secara bersendirian dan bayinya didapati berada di atas katil pesakit.

“Proses ‘donning’ mengambil masa sebelum bantuan oleh anggota bertugas dapat diberikan kepada pesakit,” katanya.

Mengenai dakwaan pesakit mendengar bunyi ketawa didakwa kakitangan hospital di luar bilik isolasi, Dr Aman berkata, ia berkemungkinan daripada bunyi bising di bilik bersalin berhampiran yang melakukan prosedur kelahiran bayi secara ‘vacuum’.

Sementara itu, katanya lagi, oleh kerana pesakit positif Covid-19, dia perlu ditempatkan di ruang isolasi tertutup.

“JKNJ akan menjalankan siasatan lebih terperinci mengenai kejadian itu dan mengambil tindakan penambahbaikan diperlukan,” katanya.

Sejak Selasa lalu, tular di media sosial, seorang wanita membuat hantaran di Facebooknya mendakwa terpaksa melahirkan anak sendirian di bilik pengasingan khas bagi ibu hamil yang positif Covid-19.

Dia mendakwa ia terjadi setelah panggilannya untuk meminta bantuan kakitangan hospital tidak dilayan.

Wanita itu memuat naik status berkenaan di akaun Facebooknya pada 31 Julai, namun ia hanya tular sejak Selasa lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here