Bersabarlah, jangan putus asa Ziyad – Azizulhasni

0
2

JAGUH lumba basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mendoakan atlet paralimpik, Muhammad Ziyad Zolkefli agar bersabar, lebih tenang dan tabah menghadapi dugaan yang menimpanya.

Menerusi hantaran di Facebooknya Azizulhasni, berkata kejadian yang menimpa Ziyad adalah asam garam realiti perjalanan seorang atlet dan beliau sendiri pernah mengalami situasi tersebut apabila pingat emasnya ditarik semula di Sukan Komanwel New Delhi pada 2010.

“Ini realiti dunia sukan. Pelbagai perkara yang diluar jangkaan boleh berlaku. Kadang-kadang ianya adalah kerana kesilapan kita, dan kadang-kadang pula boleh jadi kesilapan dari pihak lawan.

“Jangan terkejut jika pihak pengadilan juga melakukan kesilapan kerana ia memang sentiasa berlaku di dalam dunia sukan ini. Mereka adalah manusia dan kita juga adalah manusia. Manusia memang tidak lari daripada membuat kesilapan,” katanya.

Pemenang pingat perak acara keirin di Sukan Olimpik Tokyo itu turut menasihati Muhammad Ziyad dengan berkata bahawa atlet tersebut perlu menerima qada’ dan qadar, jangan berputus asa dan terus mahu ke hadapan.

“Sudah tentu saya pun berharap agar bantahan dari pihak Malaysia akan diterima dan Ziyad dapat pingat emas yang memang kepunyaan Ziyad itu.

“Semua yang berlaku adalah ketentuan Allah dan mungkin ada hikmah besar disebaliknya. Kami rakyat Malaysia semua tahu yang Ziyad adalah juara yang sebenar dan pingat emas itu telah dirampas secara terang-terangan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here