KERAJAAN digesa mengambil tindakan segera berhubung kedudukan Malaysia yang kini berada di tangga terbawah dalam senarai Ketahanan Covid 19 yang dikeluarkan agensi berita Bloomberg minggu lalu.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata Malaysia berada di tempat tercorot iaitu di tangga terbawah lebih rendah dari Indonesia, India atau Thailand.
“Minggu lepas Bloomberg sekali lagi mengeluarkan ranking ketahanan Covid 19 atau ‘Covid Resilience ranking’.
“Kali ini Malaysia berada di tangga terbawah. Lebih rendah dari Indonesia, India atau Thailand,” katanya menerusi Facebook.
Bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata, perkara itu sekali gus menuntut tindakan segera kerana ia bukan sahaja membabitkan aspek keyakinan mengenai kesihatan, tetapi juga kesan ekonomi yang lebih besar.
“Istilah ‘honey moon’ hanya untuk yang baru kahwin. Angkat sumpah baru ni hanyalah rujuk semula sebelum tempoh edah perceraian. Tiada yang baru. Tiada honey moon,” katanya.
Kelmarin, Kabinet baharu kerajaan terbentuk dengan 30 menteri dan 37 timbalan menteri selesai mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara. – Malaysiapost

