MENTERI Sains Teknologi Dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr Adham Baba yang memulakan tugas secara rasmi di pejabatnya hari ini mengesorkan agar kementerian itu mempergiatkan inovasi dalam bentuk ekonomi.
Beliau berkata, selain itu jumlah kehadiran individu yang memerlukan perkhidmatan di kementerian berkenaan serta kecemerlangan berkaitan sains dan teknologi akan diperhebatkan.
“Inovasi dalam membentuk ekonomi adalah antara aspek yang perlu dipergiatkan terutama sekali bagaimana menjadikan inovasi ini mampu mencetuskan peningkatan ekonomi dalam kalangan masyarakat.
“Selain itu kita mahu memberi sumbangan kepada dunia bagi menjadikan negara ini pengeksport dalam bidang sains dan teknologi,” katanya dalam ucapan sulungnya kepada warga kementerian selepas melapor diri, hari ini.
Terdahulu ketibaan Dr Adham di pekarangan bangunan kementerian disambut Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Amzad Hashim serta warga MOSTI secara fizikal dan dalam talian.
Dr Adham dalam ucapannya turut berharap warga MOSTI dapat meneruskan tindakan serta pengurusan sebelum ini bagi memastikan negara sentiasa berada pada tahap maju serta ke hadapan.
“Untuk itu marilah bersama membuat tekad menggembleng tenaga setiap lapisan masyarakat sama ada di bandar atau luar bandar bagi membentuk satu pasukan kuat dan menyelusuri apa sahaja cabaran mendatang atau sedang kita laksanakan,” katanya.
Isnin lalu, Dr Adham telah memulakan tugasan rasmi sebagai Menteri MOSTI selepas megangkat sumpah jawatan dengan mengadakan lawatan ke Technology Park Malaysia, yang merupakan agensi di bawah MOSTI.
Beliau bersama barisan anggota Jemaah Menteri yang lain serta 37 timbalan menteri mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara. – Malaysiapost

