PANDEMIK Covid-19 telah membuka mata semua betapa pentingnya keperluan memperkasakan sektor kesihatan awam, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata kegagalan bukanlah suatu pilihan, tetapi semua pihak bersama-sama perlu memperbaiki segala tindakan memerangi Covid-19.
“Peningkatan kes Covid-19 bukan hanya bilangan angka semata-mata, sebaliknya melibatkan nyawa dan kelangsungan kehidupan rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Sehubungan itu sempena hari kemerdekaan, Dr Noor Hisham menyatakan harapan agar semua pihak dapat bersatu padu dari peringkat akar umbi sehingga kepimpinan tertinggi untuk bersama menyelamatkan negara.
Beliau menyatakan tanpa kerjasama padu pelbagai pihak, negara tidak akan berjaya.
“Insya-Allah kejayaan akan terbukti jika semua pihak bersatu hati,” katanya.
Dalam hantaran berasingan, Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kelmarin bahawa kerajaan akan memastikan kelancaran penghantaran bekalan vaksin kepada enam negeri iaitu Terengganu, Perak, Johor, Kelantan, Kedah dan Sabah.
Ia bagi memastikan masing-masing mencapai kadar vaksinasi melebihi 50% sebelum hujung September ini.
Katanya, walaupun dengan pematuhan SOP, masih terdapat risiko untuk lebih ramai lagi terkesan dengan jangkitan Covid-19 jika masih ada di dalam komuniti yang tidak divaksin dengan dos lengkap.
“Sektor ekonomi, pengangkutan, perniagaan dan sosial akan berterusan terjejas. Sistem kesihatan juga kini dibebani kemasukan kes-kes kategori 4 dan 5 yang meningkat dalam kalangan yang tidak divaksinasi.
“Tambahan pula, apabila virus ini menular secara berterusan dalam komuniti yang tidak divaksin, kemungkinan untuk varian-varian baharu muncul adalah lebih tinggi.
“Tidak kira siapa pun diri anda, kita mesti bersama-sama dalam satu pasukan memerangi pandemik ini. Marilah kita pastikan kesemua penduduk Malaysia yang layak, mendapat vaksin dan mematuhi SOP agar negara kita dimerdekakan daripada jangkitan Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

