Limbang, Kapit dan Miri kini diisytihar Kawasan Kawalan Demam Babi Afrika

0
2

BAHAGIAN Limbang, Kapit dan Miri di Sarawak kini diisytiharkan sebagai Kawasan Kawalan Demam Babi Afrika (ASF) berikutan penemuan penyakit itu di Sabah dan Kalimantan Utara.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Sarawak, Dr Adrian Susin Ambud berkata, pengisytiharan itu dibuat Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Katanya, perintah itu dilaksanakan mengikut Seksyen 35 (1) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999.

“Iaitu orang awam tidak dibenarkan untuk memindah atau membawa babi hidup, daging atau hasil produk haiwan itu keluar dari kawasan kawalan.

“Orang awam juga tidak dibenarkan membawa masuk, jual beli secara dalam talian atau aktiviti kiriman pos sebarang daging babi atau hasil produknya tanpa permit, membeli atau menjual (secara fizikal atau dalam talian) atau menyimpan babi hutan dan babi hutan liar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, penternak telah diarahkan untuk tidak memberi sisa makanan dapur dan sekiranya ternakan babi diberi makanan lebihan dapur, ia perlu dimasak sekurang-kurangnya 30 minit untuk membunuh virus ASF.

Katanya, penternak juga perlu melaporkan kepada Pejabat JPV terdekat sekiranya terdapat sebarang kematian babi ternakan.

Dr Adrian menegaskan, babi atau hasil produk babi yang dipindahkan atau ditawarkan untuk dijual atau dijual dalam pelanggaran perintah boleh disita atau dimusnahkan oleh JPV.

“Tiada pampasan akan dibayar untuk sebarang babi atau hasil produk babi yang dirampas atau dimusnahkan mengikut seksyen berkenaan. Kegagalan mematuhi arahan berkenaan akan dikenakan denda tidak melebihi RM1,000.

“Sesiapa yang didapati membawa masuk ternakan dan hasil ternakan dari negara luar tanpa import permit boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 dan atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Katanya, sekiranya terdapat sebarang keganjilan atau kelainan dalam kadar kematian ternakan di ladang ternakan, penternak harus melaporkan terus kepada Pejabat Veterinar Bahagian terdekat atau boleh menghubungi talian Whatsapp 016-284 0918. – Malaysiapost

Kredit Foto: DVS Sarawak

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here