PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Hari Kemerdekaan ke-64 disambut dengan penuh pengharapan agar negara bebas daripada cengkaman pandemik Covid-19.
Beliau berkata, sambutan Hari Kemerdekaan kali ini juga membuatkan rakyat Malaysia lebih mengenal erti sebenar kemerdekaan iaitu sebuah kebebasan dalam menelusuri kehidupan harian.
“Jika sebelum ini sebilangan kita mungkin alpa tentang nikmat kebebasan. Kini kita lebih mengerti betapa merdeka bukan sesuatu yang boleh dijual beli dan tersangat bernilai.
“Benar wabak Covid-19 telah meragut sebahagian kebebasan kita sebagai anak merdeka. Tetapi itu tidak pernah melemahkan kita untuk bersama-sama terus berjuang,” katanya dalam hantaran Facebook.
Ahmad Zahid berkata, negara mampu merdeka daripada Covid-19 dengan iltizam yang jitu, kesepaduan serta penyelarasan tindakan dan pemahaman.
“Musuh kita hari ini sangat kecil saiznya dan sukar dimatikan selain bergerak dalam diam.
“Musuh kita dahulu jelas fizikal dan pergerakan mereka selain mudah dipatahkan serangan mereka.
“Cabaran ini menjadikan penjajahan virus berbahaya ini begitu sukar diatasi di seluruh dunia,” katanya.
Beliau berkata, membebaskan negara daripada ancaman berbahaya yang telah mengorbankan begitu ramai nyawa adalah tugas kita bersama.
“Kes kematian makin meningkat dari hari ke hari dan ramai orang tersayang sudah tewas di medan pertempuran memerangi virus ini.
“Maka teruskan perjuangan itu. Jangan mengalah kerana Malaysia sebuah negara merdeka.
“Jadikan Sambutan Hari Kemerdekaan ke-64 ini sebagai inspirasi menuju kemenangan untuk sekali lagi kita menang dalam pertempuran dimensi baru ini,” katanya. – Malaysiapost

