Tak perlu tunggu 100 hari bukti keupayaan – Dewan Melayu

0
3
Bendera jalur gemilang berkibar di hadapan Menara Kembar Petronas, KLCC hari ini.

SETIAP anggota Kabinet yang dilantik dalam kerajaan baharu seharusnya tidak memerlukan 100 hari untuk membuktikan keupayaan mereka.

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (Dewan Melayu), Abdul Halim Husin berkata ini kerana masa yang secukupnya telah diberikan sebelum ini, dan rakyat sudah tidak mampu untuk menunggu walaupun sehari lagi.

“Dewan Melayu amat berharap pasukan Kabinet yang kebanyakannya mengekalkan portfolio masing-masing untuk segera bertindak sebagai satu pasukan mantap.

“Ini khususnya dalam memastikan Malaysia segera bebas daripada kegawatan ekonomi dan ancaman pandemik Covid-19,” katanya menerusi kenyataan.

Menyentuh isu Bumiputera sebagai agenda nasional yang wajib dijayakan, Abdul Halim berkata Dewan Melayu amat khuatir akan tahap sebenar sosio-ekonomi orang Melayu dan Bumiputera yang kebanyakannya sudah kritikal dan rentan.

Katanya, memandangkan 80 peratus pendapatan mereka berpunca daripada gaji, sudah tentulah golongan itu paling terjejas lantaran banyak perusahaan terpaksa ditutup akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta kesan kemusnahan pandemik 19 yang terpaksa dipikul bersendirian.

Beliau berkata, hasil kajian dan sesi libat urus diadakan sejak 2020, Dewan Melayu telah merangka senarai kehendak orang Melayu serta Bumiputera yang mesti diberi perhatian oleh kerajaan baharu.

“Ia dimasukkan ke dalam tindakan-tindakan pemulihan di kementerian masing-masing.

“Pada masa sama, pelaksanaan Tindakan Pembangunan Bumiputera (TPB2030) yang sering tertangguh disegerakan dan diperluaskan skopnya agar menjadi landasan utama kepada Pelan Pemulihan Negara khususnya apabila sasaran imuniti kelompok tercapai tidak lama lagi,” katanya.

Katanya lagi, berikutan banyak aduan mengenai Bantuan Khas Prihatin yang yang pengagihannya terlalu sedikit dan lewat diterima, pihaknya menuntut agar Belanjawan 2022 dapat menambah input-input bantuan yang lebih substantif dan “berorientasikan rakyat”.

“Ia amat diperlukan agar rakyat dapat kembali kepada kehidupan yang normal secepat mungkin,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here