Parti Warisan Sabah menolak khabar angin bahawa kerajaan negeri akan bertukar dalam masa terdekat ini.
Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua mendakwa laporan media berhubung perkara itu adalah “cerita lama”.
Memetik laporan Malaysiakini, Loretto mendakwa laporan berita dari Straits Times Singapura semalam adalah cerita lama yang diulang-ulang.
“Sejak dulu cakap kerajaan Sabah mahu tukar kerana ada YB (yang berhormat) yang mahu lompat.
“Warisan ada majoriti besar berbanding (majoriti) Muhyiddin (Yassin) di Parlimen kamu tahu,” katanya yang dipetik portal berkenaan.
Loretto berkata, kebarangkalian untuk menumbangkan Warisan di Sabah adalah tipis kerana gabungan yang dipimpin parti itu mempunyai dua pertiga kerusi DUN.
Menurut laporan Straits Times pagi semalam, Sabah di ambang pertukaran kerajaan ekoran 14 wakil rakyatnya akan lompat parti dan membentuk kerajaan baru yang dipimpin Adun Sungai Sibuga, Tan Sri Musa Aman.
Jika hal itu berlaku, Musa bakal meraih sokongan daripada 34 Adun.
Bagaimanapun, Straits Times kemudian mengemas kini laporan mereka malam tadi dengan mendakwa pendirian dua Adun yang dikatakan akan melompat parti ‘goyah’.
Sejak akhir Februari lalu, Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan negeri baru di Johor, Melaka, Perak dan Kedah.
Spekulasi bahawa negeri di bawah bayu itu akan bertukar kerajaan bertiup kencang sejak pertengahan Jun dengan menyaksikan Adun dari Kuala Penyu dan Aduan Sugut dari Upko melompat parti.

