AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Lajim Ukin yang ditidurkan akibat jangkitan Covid-19, berada dalam keadaan stabil.
Ketua Bersatu Bahagian Beaufort, Datuk Isnin Aliasnih mengesahkan perkembangan terkini Lajim yang juga Pengerusi Eksekutif Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).
“Benar. Apa yang ada dalam mesej tular di aplikasi WhatsApp itu adalah betul (Lajim ditidurkan dan stabil).
“Bagaimanapun, dia (Lajim) masih belum sedar, namun beliau kini dalam keadaan stabil sejak semalam (Rabu),” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Lajim dirawat di Hospital KPJ Sabah kerana Covid-19 sejak 13 Ogos lalu dan ditidurkan kira-kira jam 2 petang semalam selepas kesihatannya merosot.
Terdahulu mesej tular di media sosial mengenai keadaan bekas Ahli Parlimen Beaufort itu yang sudah stabil dengan oksigen dan tekanan darah kembali normal.
Mesej sama turut meminta semua pihak mendoakan kesejahteraan Lajim. – Malaysiapost

