BEKAS Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata jalan penyelesaian penting bagi menangani virus Covid-19 yang boleh membawa maut adalah dengan mengambil suntikan vaksin.
Beliau berkata, rakyat perlu mendapatkan suntikan vaksin secepat mungkin bagi mengawal kes Covid-19 yang kini sudah mencecah 1,616,244 kes.
Ahli Parlimen Langkawi itu berkata amalan prosedur operasi standard (SOP) dapat membantu namun vaksin lebih mampu menyelamatkan rakyat.
“Kita sedang diserang oleh wabak Covid-19, satu malapetaka yang boleh bawa maut kepada ramai dari kita, dari keluarga kita, ibu bapa kita, sahabat kita, kenalan kita.
“Sehingga kini sudah 12,000 orang meninggal dunia kerana jangkitan Covid-19. Ramai yang tidak dapat dirawat di hospital dan menjadi teruk dan meninggal. Ramai yang tak dapat makan, jauh sekali dari pendapatan.
“Keadaan sekarang amat teruk. Tiap hari 20,000 dijangkiti Covid-19, tidak dapat rawatan, tinggal di rumah, menjadi lebih teruk dan meninggal,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Dr Mahathir berkata, dengan krisis kesihatan yang meruncing orang ramai perlu memandang serius wabak berkenaan dan sanggup menerima segala tindakan untuk mengurangkan kes baharu.
Beliau juga akui sememangnya menekan keadaan apabila rakyat terus menerus diingatkan agar mengamalkan SOP bagi mengawal penularan virus.
“Memang sukar untuk patuh arahan memisah diri dengan jauh dari orang lain sepanjang masa, memakai pelitup muka, membasuh tangan. Memang sukar untuk tidak ke pasar dan lain-lain,” ujarnya lagi.
Bagaimanapun, katanya, jika tidak sanggup mengamal arahan tersebut, maka lebih ramai akan dijangkiti, dan maut setiap hari.
“Ya, memang menekan semua ini. Tetapi jika kita tidak sanggup mengalami kesusahan, keadaan akan jadi lebih teruk dan ramai yang akan dijangkiti dan meninggal dunia,” katanya.
Semalam, kes harian Covid-19 masih kekal diangka 20,000 apabila mencatatkan 22,642 kes baharu.
Sementara, kematian akibat virus maut itu merekodkan 265 kes baharu.
Angka tersebut menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat Covid-19 kini menghampiri 15,000 kes iaitu 14,818. – Malaysiapost

