Tukang kebun dipenjara 10 tahun cabul warga emas

0
2

MAHKAMAH Sesyen Ayer Keroh, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dengan satu sebatan kepada seorang tukang kebun warga Indonesia selepas didapati bersalah mencabul warga emas di pusat jagaan orang tua di Melaka Tengah, minggu lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Maziah Joary Mohd Tajudin, menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Firmus Nahak, 41, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya, lapor Berita Harian.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan pencabulan seksual (secara memasukkan jari dalam kemaluan) dan mencederakan mangsa berusia 77 tahun itu yang juga penghuni sebuah pusat jagaan.

Perbuatan itu dilakukan di pusat jagaan warga emas di Melaka Tengah, kira-kira jam 12.30 malam pada 19 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 377CA, Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara antara lima hingga 30 tahun serta sebatan.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Wahidah Mohamad, memohon hukuman penjara yang panjang sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang awam, selain mengambil kira faktor mangsa adalah warga emas.

Maziah Joary pada penghakimannya memerintahkan tertuduh dikenakan satu sebatan dan dipenjara 10 tahun bermula dari tarikh ditangkap pada 19 Ogos. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here