Senarai Kabinet, usul undi percaya ujian awal PM – Kit Siang

0
2
Kredit: Twitter LKS

VETERAN DAP Lim Kit Siang berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan berhadapan ujian pertama apabila beliau mengumumkan senarai Kabinetnya.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, selain itu Ismail Sabri juga akan berhadapan ujian, susulan undi percaya untuk menentukan sokongan majoriti di Parlimen bulan hadapan.

“Ujian pertama kepada Ismail Sabri akan tiba apabila beliau mengumumkan senarai Kabinet dan tindakan-tindakan beliau sebelum undian pegangan majoriti beliau di Parlimen pada bulan hadapan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Kit Siang berkata, beliau akan akan memberi peluang kepada Ismail Sabri membuktikan Perdana Menteri ke-9 itu mampu mencipta keadaan untuk membolehkan satu konsensus kebangsaan baharu dibina.

Kit Siang berkata, Ismail Sabri sudah pun menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri ke-9 secara rasmi dengan kebanyakan rakyat tidak memberi harapan tinggi terhadapnya.

“Perdana Menteri kesembilan telah pun masuk ke pejabatnya dengan jangkaan terendah daripada rakyat, tetapi saya bersedia untuk menggantung penilaian saya kepada beliau.

“Ia untuk memberikan beliau peluang membuktikan semua pessimis tersilap dan bahawa beliau mampu mencipta keadaan untuk membolehkan satu konsensus kebangsaan baharu dibina.

“Dan membantu negara kita berhadapan dengan cabaran yang dihadapi dalam masa 12 ke 18 bulan yang akan datang untuk menyatukan semua rakyat Malaysia sebagai satu ‘Keluarga Malaysia’,” katanya.

Selain itu, Kit Siang berkata, keadaan buruk Covid-19 di negara kita ini memerlukan dasar, strategi, dan pendekatan baharu dalam perang melawan wabak berkenaan.

Katanya, ia mesti melibatkan ‘keseluruhan kerajaan’ dan ‘keseluruhan masyarakat; — memandangkan negara kita bakal memecahkan siling 1.6 juta kes terkumpul Covid-19 hari ini.

Kredit Foto: Twitter/Lim Kit Siang

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here