‘Beri sedikit masa pada kerajaan baharu’ – Najib

0
2

Nurul Huda Abhar

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, semua pihak harus memberi sedikit masa kepada pentadbiran baharu negara di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, peluang harus diberikan kepada kerajaan baharu untuk menggubal strategi yang lebih berkesan bagi mencapai objektif dalam menangani pandemik dan memulihkan ekonomi negara.

“Jika berdasarkan ucapan sulung Perdana Menteri menggariskan keutamaan untuk kerajaan, nampak Perdana Menteri memahami akan apa yang patut diusahakan oleh kerajaan.

“Kita kena bagi masa sedikit pada pentadbiran baru ini menggubal strategi yang perlu dilaksanakan bagi mencapai objektif yang telah digariskan itu yakni menangani Covid-19, menguruskan ekonomi dan memupuk semangat kekitaan sesama kita,” katanya ketika ditemui semasa ‘flag off’ sumbangan bagi mangsa banjir di Merbok dan Yan hari ini.

Najib berkata, rakyat mahu melihat pembaharuan dari segi strategi dan usaha kerajaan untuk memulihkan keadaan negara.

Ahli parlimen Pekan itu juga menegaskan ketika beliau memegang jawatan Perdana Menteri, slogan ‘pencapaian diutamakan’ sangat dititikberat kerana itu kemahuan rakyat.

“Sebab itu semasa saya mentadbir negara yang tekankan ‘pencapaian diutamakan’ yang mana kita mesti tunjukkan hasil, inilah rakyat hendak,” katanya.

Ismail Sabri mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri ke-9 di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada 21 Ogos lalu.

Ia selepas seramai 114 Ahli Dewan Rakyat mencalonkan Ismail Sabri, sekali gus memperoleh jumlah majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Meskipun suhu politik negara agak reda susulan pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri, banyak pihak yang meletakkan harapan besar kepada kerajaan baharu dan tertunggu-tunggu strategi yang diterapkan untuk memulihkan krisis kesihatan dan ekonomi yang melanda negara. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here