Caj atas talian tambah beban rakyat – Pemuda Umno

0
3

Muhammad Mustakim Ramli

PEMUDA Umno membantah cadangan mengenakan caj perkhidmatan untuk urus niaga dalam talian.

Ketua Pemudanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata cadangan itu amat tidak wajar ketika rakyat dihimpit kepayahan hidup akibat pandemik Covid-19.

“Covid-19 masih belum berakhir. Sepatutnya kerajaan fokus menggalakkan urusniaga atas talian.

”Beri insentif bukan mengenakan caj. Pemuda Umno bantah!,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Turut membantah cadangan itu adalah Exco Pemuda Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo yang menyifatkan menambah beban rakyat.

“Caj atas talian apa pula ni kerajaan? Janganlah dalam keadaan ekonomi sebegini masih nak menambah beban ke atas rakyat,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata tidak adil untuk terus menindas rakyat dengan mengenakan cukai tambahan.

“Di kala rakyat makin tersepit dengan Covid-19, ramai sedang bergerak ke platform digital untuk mendapat barang dengan harga yang lebih murah.

“Tidak adil untuk terus menindas rakyat dengan kenakan cukai tambahan,” kata bekas Ketua Armada Bersatu itu.

Semalam, kerajaan dilaporkan bercadang mengenakan caj perkhidmatan 0.02 peratus kepada pembeli yang melakukan pembelian dalam talian termasuk portal e-dagang seperti Lazada dan Shopee.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, namun begitu jumlah minimum pembelian yang membolehkan caj itu dikenakan masih belum ditetapkan.-Malaysiapost