Usaha reformasi institusi perlu diteruskan – PH

0
2

PAKATAN Harapan (PH) berpandangan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob wajar memberikan pertimbangan terhadap isu-isu yang dibangkitkan mereka membabitkan pandemik Covid-19, krisis ekonomi dan kemelut politik.

Menurut Majlis Presiden PH, sejak tahun lalu beberapa dasar dan langkah reformasi serta penambahbaikan digariskan pembangkang bertujuan menyelamatkan rakyat.

Antara yang digariskan adalah reformasi dan penambahbaikan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan memastikan program saringan ujian awam dilaksana dan memastikan sokongan tambahan diberi kepada sistem kesihatan awam.

“Selain itu, reformasi fiskal termasuk suntikan tunai RM45 bilion secara langsung kepada pekerja, perniagaan dan sektor kesihatan serta moratorium pinjaman bank tanpa faedah demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian.

“Reformasi institusi dengan memperkasa Parlimen melalui penggubalan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen, memperkukuh fungsi semak imbang Parlimen serta mengiktiraf peranan pembangkang dengan pembabitan dalam usaha dan ikhtiar kerajaan.

“Serta reformasi perundangan termasuk dengan melaksana Undi 18 dan Akta Anti Lompat Parti,” menurut kenyataan Majlis Presiden PH, hari ini.

Kenyataan itu dibuat secara bersama oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Menurut kenyataan itu lagi, memandangkan kerajaan terdahulu yang dipimpin bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal menangani pelbagai masalah termasuk isu Covid-19, maka Perdana Menteri baharu wajar pertimbang cadangan reformasi institusi dicadangkan pembangkang.

“Memandangkan Jemaah Menteri yang baharu bakal dibentuk, PH berpandangan bahawa Perdana Menteri wajar memberikan pertimbangan terhadap isu-isu yang dibangkitkan di atas demi rakyat dan negara,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here