Elak lantik ‘kluster mahkamah’ dalam Kabinet – Tun M

0
2

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu mengelak memberi jawatan dalam Kabinet termasuk Timbalan Perdana Menteri (TPM) kepada kumpulan yang digelar ‘kluster mahkamah’, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pada masa sama, bekas Perdana Menteri itu berkata tiada seorang pun dalam kalangan Ahli Parlimen di blok kerajaan layak diangkat bagi jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Menurutnya, ia termasuk daripada Ahli Parlimen Bersatu yang majoritinya dianggotai golongan yang melompat parti, lapor Astro Awani.

“Saya cuma tahu siapa yang tidak patut jadi Timbalan (Perdana Menteri) iaitu ‘geng kluster mahkamah’, tidak boleh ada dekat dengan kerajaan pun, sepatutnya mereka diasingkan dan sudah tentu tak boleh jadi TPM,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian kepada media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Langkawi sempena Program #PulangKeLangkawi hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata senarai Kabinet akan diumumkan minggu ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata Kabinet baharu di bawah pentadbiran Ismail Sabri perlu dibuat dalam jumlah yang lebih kecil berbanding kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, ini kerana majoriti menteri dan timbalan menteri ketika pentadbiran PN sebelum ini tidak menunjukkan prestasi baik selain ada yang disifatkan hanya ‘makan gaji buta’.

“Saya harap tidak berapa besarlah, tak macam Tan Sri Muhyiddin Yassin punya Kabinet. Janganlah tunjuk jawatan menteri itu sebagai satu cara untuk sogok orang.

“Menteri sepatutnya ada kebolehan, (tetapi) kita dapati menteri-menteri Kabinet Tan Sri Muhyiddin tidak ada kerja apa pun, dapat gaji sahaja, janganlah jadi macam tu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here