Sudah tiba masa TPM diberi kepada Sarawak

0
2
Kredit: Utusan Borneo

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob wajar memberikan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada Ahli Parlimen Sabah atau Sarawak.

Pandangan itu disuarakan Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah yang menyifatkan sudah tiba masa agar jawatan nombor dua Kabinet Persekutuan diberi kepada wakil rakyat Borneo.

Beliau menyarankan, dua jawatan Timbalan Perdana Menteri boleh diwujudkan, iaitu satu daripadanya menjaga hal ehwal berkaitan Sarawak dan Sabah.

“Tetapi ini adalah pandangan peribadi saya sahaja. Budi bicara dalam pelantikan menteri-menteri terletak di tangan Perdana Menteri.

“Saya percaya beliau dapat mengatur Kabinetnya dengan baik dan mengambilkira pandangan dan juga bagaimana hendak memuaskan hati warga Sarawak,” katanya dalam temubual bersama Utusan Borneo.

Mengulas lanjut, Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak berkata, kewajaran itu adalah bersandarkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang sentiasa fokus memastikan kestabilan politik Malaysia.

“Sokongan Sarawak terhadap kestabilan politik Malaysia cukup baik dan patut diberi penghargaan. Penghargaannya boleh datang (dalam bentuk) dengan jawatan tertentu dan satu daripadanya Timbalan Perdana Menteri,” katanya.

Katanya lagi, peranan dan sumbangan Sarawak serta Sabah dalam membangunkan negara sejak Malaysia dibentuk amat besar.

“Apa yang kita tengok pembangunan di Semenanjung itu banyak yang datang dari hasil bumi Sarawak dan Sabah,” katanya.

Sementara itu beliau turut berharap Ahli-ahli Parlimen dari Sarawak diberikan portfolio kementerian penting, sekali gus berupaya membawa lebih pembangunan di negeri itu.

Semalam, Ismail Sabri memberitahu beliau akan mengumumkan barisan Kabinet baharu minggu ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong. – Malaysiapost

Kredit Foto: Utusan Borneo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here