Dana RM2 juta: Ahmad Maslan mengaku tidak bersalah

0
2

AHLI Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini berhubung dua tuduhan iaitu gagal mengisytiharkan RM2 juta diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan memberi pernyataan palsu. 

Setiausaha Agung Umno itu membuat pengakuan berkenaan selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh, lapor Utusan Malaysia. 

Pada 21 Januari lalu, Ahmad, 55, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas semua pertuduhan tersebut. 

Namun Mahkamah Tinggi pada 13 Julai lalu membenarkan permohonan Ahmad agar kes tersebut dipindah dan dibicarakan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi. 

Berdasar pertuduhan pertama, Ahmad didakwa menerima wang RM2 juta daripada Najib yang dipercayai sebagai hasil aktiviti yang menyalahi undang-undang, melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013, dan cek itu ditunaikan sendiri oleh Ahmad, pada hari sama. 

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 30 April 2014 di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di ibu negara. 

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 

Bagi pertuduhan kedua, Ahmad dituduh memberi pernyataan palsu kepada SPRM ketika percakapannya dirakam oleh pegawai penyiasat iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa, Mohd Zairi Zainal antara 2.45 hingga 3.30 petang pada 4 Julai 2019, di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, berhubung cek tersebut. 

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 32(8)c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar memohon agar jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin dan serahan pasport kepada mahkamah seperti ditetapkan Mahkamah Sesyen sebelum ini dikekalkan. 

Peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad memaklumkan pihaknya tiada bantahan terhadap perkara berkenaan. 

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan pendakwaan agar jumlah jaminan dikekalkan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here