BEKAS Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata beliau tetap mendoakan kejayaan atlet negara ke temasya Sukan Paralimpik walaupun tidak dapat bersama ke Tokyo.
Sukan Paralimpik 2020 yang dijadual berlangsung dari 24 Ogos hingga 5 September menyaksikan, seramai 22 atlet negara akan menggalas cabaran dalam sembilan jenis sukan membabitkan 32 acara keseluruhan.
Difahamkan, Wan Ahmad Fayhsal tidak terbang ke Tokyo kerana tidak lagi memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan susulan kejatuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) minggu lalu.
“Hari ini saya sepatutnya bersama-sama kontijen Paralimpik negara ke Tokyo, Jepun.
“Namun akibat sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, atlet-atlet kita telah berlepas ke sana dengan pegawai-pegawai bertugas yang lain dari Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara Malaysia.
“Walaupun saya tidak dapat bersama-sama mereka kali ini secara peribadi, doa dan ucap selamat tetap mengiringi wirawan dan srikandi negara yang bakal bertarung di persada dunia,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Wan Ahmad Fayhsal turut berharap anggota pentadbiran kerajaan yang baharu dapat memberikan sokongan terbaik dalam masa terdekat buat kontinjen Paralimpik negara.
Dalam temasya kali ini, Malaysia menetapkan sasaran tiga pingat emas iaitu menyamai pencapaian pada temasya lima tahun lalu di Rio. – Malaysiapost

