Umno kembali diyakini rakyat – Zahid

0
2

UMNO tidak akan sesekali melupakan sejarah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bertarikh 9 Mei 2018, tegas Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mendakwa, kekalahan berkenaan adalah sebuah sejarah tentang kebatilan mengatasi kebenaran angkara fitnah dan tipu daya.

Menurutnya, ia menjadi detik hitam Umno apabila tersisih daripada teras pentadbiran negara, namun Umno dan Presidennya tidak pernah merajuk dan jauh sekali berpaling daripada kebenaran serta tunduk pada kepalsuan.

“Syukur Alhamdulillah kebangkitan diyakini dikurniakan satu persatu seusai PRU14. Takdir Allah SWT dua parti terbesar umat Islam yang lama terpisah kembali bertaut.

“Hasil iltizam pimpinan tertinggi kedua-dua parti untuk bermuafakat. Piagam Muafakat Nasional (MN) dimeterai Umno dan PAS diberkati dengan kejayaan demi kejayaan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, MN menang tujuh Pilihan Raya Kecil (PRK) selepas itu sekali gus menzahirkan sokongan padu rakyat berbilang bangsa dan agama hingga enyebabkan Pakatan Harapan (PH) goyah lalu tumbang selepas 22 bulan di tampuk kuasa.

“MN menyokong pembentukan Kerajaan Persekutuan baharu demi kelangsungan pentadbiran ketika itu dan natijahnya Umno kembali mengetuai pentadbiran beberapa kerajaan negeri.

“Bermula di Johor pada Februari 2020 diikuti Melaka pada Mac 2020 dan Perak pada Disember 2020,” katanya.

Beliau berkata, landskap politik negara kemudian berubah sekali lagi dan Umno serta dirinya tidak boleh terus menyokong kegagalan Kerajaan Persekutuan selama 18 bulan.

“Gagal melindungi rakyat dan negara daripada pandemik Covid-19. Justeru Umno bertindak sekali lagi. Bersyukur perubahan sekali lagi berjaya dilakukan.

“Maka benarlah Umno parti keramat agama, bangsa dan negara. Sentiasa bersama rakyat dan akar umbinya dalam apa jua keadaan. Dalam susah mahupun senang.

“Insya-Allah tiada apa dapat melemahkan jati diri Umno ini selagi Umno di landasan rakyat dan negara,” tegasnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here