DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob meminta semua pihak tidak percaya dengan penyebaran senarai nama kononnya barisan Kabinet baharu kerajaan pimpinannya yang tular di media sosial ketika ini.
Perdana Menteri berkata ini kerana senarai tersebut belum ada dan beliau sendiri masih membuat pertimbangan secara menmyeluruh sebelum mengumumkannya dalam minggu ini.
“Dalam minggu ini saya akan umumkan (barisan Kabinet), tapi sebelum itu ia akan dibawa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan terlebih dahulu.
“Senarai (barisan Kabinet) belum ada, jadi jangan percaya senarai yang tersebar, sekarang banyak keluar senarai menteri Kabinet, tapi semuanya tak betul,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas meninjau lokasi bencana di Yan, Kedah hari ini.
Ismail Sabri berkata senarai menteri Kabinet akan beliau pertimbangkan secara menyeluruh sebelum membuat keputusan kerana ia melibatkan kepentingan semua pihak.
“Sebelum saya putuskan siapa jadi menteri, saya akan pertimbangkan secara meleuruh kerana ia melibatkan kepentingan semua pihak,” katanya. – Malaysiapost

