PERDANA Menteri menegaskan barisan Kabinet kerajaan baharu pimpinannya tidak akan dianggotai Ahli Parlimen pembangkang.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut menegaskan kerajaan pimpinannya bukanlah kerajaan perpaduan yang melibatkan anggota daripada parti pembangkang.
“Dalam Kabinet tidak ada (Ahli Parlimen pembangkang), tidak ada kerajaan perpaduan melibatkan parti pembangkang,” katanya dalam sidang media selepas melawat kawasan bencana di Yan, Kedah hari ini.
Ismail Sabri bagaimanapun berkata kerjasama antara kerajaan pimpinannya dengan pembangkang tidak semestinya mereka perlu berada dalam Kabinet atau melalui pembentukan kerajaan perpaduan.
“Kerjasama tak semestinya dalam Kabinet, dalam Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19 mereka boleh beri pandangan. Begitu juga mereka boleh terlibat sama dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN).
“Jadi sama-sama kita menyelesaikan isu paling besar iaitu menangani Covid-19 dan ekonomi,” katanya.
Beliau juga memaklumkan akan berjumpa dengan wakil pembangkang untuk membincangkan peranan mereka susulan respon menggalakkan berikutan tawaran kerjasama dikemukakan beliau semalam.
“Nampak gaya pembangkang sudah ada respon yang menggalakkan, mereka nak bincang, insya-Allah saya akan jumpa dengan mereka untuk berbincang apa peranan mereka nanti,” katanya.
Ismail Sabri dalam ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri semalam, menawarkan ruang kepada kepimpinan pembangkang menganggotai MPN dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.
Perdana Menteri berkata, kemelut politik melanda negara menimbulkan keresahan rakyat, justeru kestabilan politik perlu segera dicapai menerusi kebersamaan, termasuk mewujudkan kerjasama rentas parti.
Ia susulan titah Yang di-Pertuan Agong, dalam perjumpaan bersama ketua parti politik baru-baru ini, supaya semua pihak melupakan perbezaan demi mencapai kesejahteraan dan kebajikan rakyat.
tawaran Perdana Menteri kepada pembangkang untuk terlibat secara langsung dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19 adalah sangat baik dan membuktikan beliau berjiwa besar dan inginkan penyatuan sebenar politik Malaysia. – Malaysiapost

