EMPAT remaja ditahan polis kerana dipercayai memalsukan surat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan surat pengesahan majikan sebelum dijual di laman sosial.
Suspek dipercayai memalsukan 250 dokumen yang setiap satunya dijual RM150 sejak Mac lalu untuk kegunaan merentas daerah dan negeri.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Johor bersama JSJK Bukit Aman menahan empat remaja termasuk dua wanita berusia 16 hingga 19 tahun di sekitar Johor Bahru antara jam 8.30 hingga 10 malam pada 5 Ogos lalu.
Beliau berkata, dalam serbuan itu juga, sejumlah telefon bimbit dan kad ATM dirampas dan semua suspek direman lima hari sehingga 9 Ogos.
Katanya, sindiket yang beroperasi sejak Mac lalu itu mengiklankan perkhidmatan terbabit di Instagram, Facebook dan menerusi aplikasi WeChat, selain turut mengubah suai surat kelulusan MITI sebuah syarikat yang beralamat di Kempas, bagi mengelirukan pihak berkuasa.
“Suspek menerima komisen antara RM50 hingga RM100 bagi setiap dokumen dan dipercayai dijual di seluruh Semenanjung.
“Polis percaya ada pembabitan orang dalam dengan kegiatan ini,” katanya seperti dilapor Berita Harian, hari ini.
Ayob Khan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebatan dan denda.
Katanya, polis turut mencari individu dikehendaki bersabit kes berkenaan dikenali sebagai Nicholas Chai Jia Han, 21, dengan alamat terakhirnya di 49, Jalan Bukit Kontang, Taman Ria, Tangkak, bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, masyarakat diingatkan supaya membuat permohonan dengan hadir ke balai polis berhampiran dan atas alasan pergerakan munasabah, selain tindakan membeli dan menggunakan dokumen palsu menyalahi Seksyen 471 Kanun Keseksaan. – Malaysiapost

