Pemuda PN percaya Perdana Menteri sedia teruskan agenda kerajaan PN

0
2

KERAJAAN pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu mengembalikan fokus rakyat tanpa mengira latar belakang jalur politik, agama dan bangsa untuk berfikir dan bertindak secara bertanggungjawab.

Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ir Khairil Nizam Khirudin berkata ia ibarat sebuah keluarga yang saling mendokong antara satu sama lain di dalam agenda Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Beliau berkata, tema besar yang dibawa melalui ‘Keluarga Malaysia’ adalah sangat tepat dalam keadaan sekarang.

Keadaan itu, katanya, berikutan negara yang berhadapan peperangan melawan pandemik serta kemelut kerakusan kuasa politik yang tidak pernah berhenti sehingga membantutkan usaha membaik pulih ekonomi negara.

“Pada hemat saya, Datuk Seri telah mempunyai “big picture” jelas mengenai halatuju negara di samping bersedia untuk meneruskan agenda kerajaan PN.

“Penilaian risiko serta hasil analisa data menunjukkan PPN sedang berada di landasan tepat dan mampu mengeluarkan Malaysia daripada kemelut Covid-19 segera seperti telah dijadualkan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Khairil Nizam yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS berkata beliau menyokong penuh rancangan Ismail Sabri untuk segera membela dan memulihkan ekonomi rakyat dan sektor swasta yang terjejas melalui dua objektif utama.

Objektif tersebut iaitu mengembalikan kesejahteraan rakyat seiring usaha meningkatkan kuasa beli pengguna dan mengangkat semula sektor swasta sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara.

“Seperti yang pernah saya huraikan sebelum ini iaitu kerajaan Persekutuan yang baru ini mestilah memberikan fokus kepada dua perkara iaitu ekonomi rakyat dan keselamatan rakyat.

“Saya pasti menyokong penuh usaha YAB Datuk Seri untuk memastikan suara anak muda negara kita lebih didengari dan diberi perhatian oleh kerajaan.

“Anak muda perlu diberikan lebih ruang dan peluang untuk terlibat secara langsung dalam pelaksanaan agenda pemulihan negara oleh kerajaan,” katanya.

Katanya lagi, tawaran Perdana Menteri kepada pembangkang untuk terlibat secara langsung dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19 adalah sangat baik dan membuktikan beliau berjiwa besar dan inginkan penyatuan sebenar politik Malaysia. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here