PELANTIKAN Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan adalah suatu kebanggaan buat Pahang kerana tiga anak jati negeri itu diangkat memegang jawatan nombor satu negara.
Ia bermula dengan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein (1970 hingga 1976), diikuti Datuk Seri Najib Razak (2009 hingga 2018) dan kini Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata lebih membanggakan apabila pelantikan dan pengurniaan suratcara pelantikan Ismail Sabri disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong yang juga Sultan Pahang.
“Semestinya kita menjunjung titah dan menjunjung kasih atas kebijaksanaan serta perkenan Seri Paduka Baginda melantik dan menyempurnakan pelantikan ini.
“Pelantikan Ismail Sabri ke jawatan eksekutif tertinggi negara ini pula ialah secara ‘meteoric’ atau mendadak. Ini kerana daripada Timbalan Perdana Menteri disandang pada 7 Julai, kepada Perdana Menteri pada 21 Ogos, atau dalam tempoh 45 hari sahaja.
“Inilah yang dikatakan pepatah ‘tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu’. Hanya Allah SWT sahaja yang menentukan segala-galanya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan khas sempena Mesyuarat Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Wan Rosdy berkata, pemilihan Ismail Sabri juga dibuat melalui proses yang teliti serta menepati kehendak undang-undang.
“Pemilihan ini juga adalah bermerit sama ada daripada segi jawatannya dalam parti mahupun kerajaan Persekutuan, juga daripada segi kelayakan akademiknya,” katanya.
Seterusnya beliau berharap semua pihak memberi kerjasama penuh kepada Perdana Menteri agar beliau dapat menjalankan tugas dengan berkesan khususnya menangani wabak Covid-19, serta kesan sosio-ekonomi kepada rakyat. – Malaysiapost

