‘Iltizam bawa Umno kembali jadi kerajaan jadi kenyataan’ – Zahid

0
2
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

PRESIDEN Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, iltizamnya menjadikan Umno sebagai parti terbaik untuk kembali menjadi kerajaan sebelum atau selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akhirnya termakbul.

Ahmad Zahid berkata, iltizam itu dizahirkannya ketika berucap pada Perhimpunan Agung Umno 2018 bahawa parti itu sentiasa bersedia memimpin kerajaan sekiranya apa-apa terjadi kepada kerajaan sedia ada.

“Itu antara kandungan ucapan saya pada Perhimpunan Agung Umno kira-kira tiga tahun yang lalu. Perhimpunan yang diadakan selepas kita tewas Pilihan Raya Umum Ke-14 angkara fitnah.

“Apa yang dinyatakan Presiden Umno pada hari tersebut telah pun dijadikan kenyataan pada hari ini,” katanya menerusi Facebook.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, beliau berterima kasih kepada seluruh pimpinan, ahli dan penyokong Umno yang meyakini iltizam itu.

“Dalam ucapan sama saya ada juga menyebut: ‘Yakinlah awan mendung yang melanda akan segera berarak, menipis dan sirna. Jika kita bersatu dan kuat pasti bangkit’,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, dalam pentas sama beliau turut meyakinkan ahli dan pemimpin Umno bahawa sekiranya parti itu berjaya mendepani landskap politik hari ini, Umno akan kembali kukuh.

“We are the better option. Kitalah pilihan terbaik untuk kembali menjadi kerajaan sebelum atau selepas PRU-15.

“Maka itu perjuangan Umno seterusnya. PRU-15 yang bakal diadakan selepas pandemik terkawal matlamat yang sebenar,” katanya.

Beliau berkata, kebangkitan Umno tidak lain demi agama, bangsa dan negara serta mengembalikan kemakmuran rakyat dan kegemilangan Malaysia.

“Syukur Alhamdulillah, Allah makbulkan segala doa dan hajat kita semua ahli Umno. Kepada Allah kita berserah parti keramat Umno sentiasa dilimpahkan Rahmat dariNya,” katanya.

Selepas Barisan Nasional (BN) tumbang pada PRU14 lalu, Umno kini kembali berkuasa untuk mengemudi Putrajaya susulan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri ke-9, semalam.

Pelantikan itu susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang hilang majoriti sokongan Ahli Parlimen dan cadangan kerjasama bipartisan yang dicadangkannya juga tidak mendapat sokongan parti politik. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here