JDT bukan kelab kebajikan, TMJ tegur Syafiq Ahmad

0
2

TUNKU Mahkota Johor (TMJ), Tengku Ibrahim Sultan Ismail memberi kata dua kepada Syafiq Ahmad, susulan satu Tweet diciapkan penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu. 

Dalam ciapan itu, Syafiq dilaporkan menulis “Seronok tengok kawan-kawan main” dipercayai sebagai luahan kerana tidak berada dalam kesebelasan utama pasukan. 

Berikutan itu, TMJ yang juga pemilik JDT memuatnaik satu hantaran di Facebook Johor Southern Tigers bagi memberi teguran kepada penyerang Harimau Malaya itu. 

“Ini kelab bola sepak. Bukan kelab kebajikan sosial. Siapa yang berlatih dengan bagus dan bekerja keras, dia akan bermain. Siapa yang tidak, dia tak akan bermain. Tak suka? Pintu adalah terbuka. Ini bukan penjara. ‘Simple’. 

“Para penyokong JDT yang tidak tahu cerita begitu cepat terikut dengan sentimen penyokong lain. Bayangan piala kelapan dan pencapaian kelab tak dilihat dan hargai. 

“Mereka nak ajar saya menguruskan kelab ini. Laman-laman page bola yang kononnya pakar juga sama. ‘Loan’ player? Nak ‘loan’ ke mana jikalau jendela perpindahan sudah ditutup. 

“Jikalau minit permainan begitu mustahak, pergi sertai PJ City di mana anda akan dapat bermain setiap perlawanan,” katanya. 

TMJ menegaskan, dalam JDT siapa yang bekerja keras ketika sesi latihan dan beri persembahan terbaik akan diturunkan, begitu juga siapa yang nak cabaran dalam karier dan memenangi kejuaraan, dipersilakan datang ke kelab tersebut. 

Namun tegasnya, mana-mana pemain yang mahu minit permainan, boleh pergi sertai kelab lain kerana tiada sesiapa memaksa dan ia atas pilihan sendiri. 

“Anda sudah sedia maklum mengenai syarat dan polisi kelab ketika menandatangani JDT. Anda kerap bermain tahun lepas dan tahun sebelum itu tetapi selepas peristiwa pahit, anda sudah berbeza. 

“Kami beri masa, sokongan dan perhatian. Jikalau tidak berpuas hati atau setuju, datang berjumpa. Berkomunikasi, bukan tweet. Apa-apa pun, pintu sentiasa terbuka. 

“Akhir kata, “Seronok tengok kawan-kawan main.” Main apa? Main bola. Nak main bola semua tempat boleh bermain bola tetapi kalau nak main bola dan bunga api, datang ke JDT,” katanya lagi. 

Sementara itu, Syafiq dalam ciapannya berasingan hari ini menzahirkan permohonan maaf kepada TMJ sambil mengakui ciapan semalam dibuat kerana mengikut perasaan 

“Saya dengan rendah diri memohon maaf atas tweet yang mengikut perasaan saya semalam kepada rakan sepasukan, kelab dan terutama sekali Tunku Mahkota Johor yang banyak membantu saya selama ini di dalam dan di luar padang. 

“Saya mengakui saya tidak sepatutnya bertindak mengikut emosi dan seharusnya fikir di mana kesilapan saya selama ini,” ciapnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here