KETUA Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman atau lebih dikenali Nadir Al-Nuri bersedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis berhubung siasatan kenyataan fitnahnya terhadap pendakwah terkenal, Ebit Lew.
Peguamnya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, anak guamnya iaitu Nadir sudah dihubungi hari ini, oleh Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah bagi memintanya memberi kerjasama dalam membantu polis menjalankan siasatan kes berkenaan.
“Anak guam kami sudahpun memaklumkan untuk memberi kerjasama dalam siasatan tersebut.
“Walau bagaimanapun sebagaimana diketahui umum anakguam kami (dan orang lain juga) menghadapi kesukaran untuk keluar dari Gaza dan masuk semula jika beliau keluar buat masa ini. Sempadan keluar masuk Gaza kini dikawal ketat oleh pihak berkuasa memandangkan situasi terkini di Palestin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Zainul Rijal berkata, anak guamnya sedia memberi kerjasama dalam apa juga keterangan yang dibuat mengikut undang-undang demi membantu keadilan dilaksana.
“Namun, sehingga kini anak guam kami belum mengetahui butiran laporan polis yang dibuat oleh pihak terbabit secara terperinci,” katanya.
Dalam pada itu, Zainul Rijal memaklumkan, kenyataan yang dikeluarkan hari ini juga bertujuan menafikan dakwaan yang tular yang menyatakan anak guamnya itu tidak membalas pesanan telekomunikasi yang dihantar oleh polis sehingga terpaksa meminta bantuan Polis Antarabangsa iaitu Interpol. – Malaysiapost

