TAN Sri Muhyiddin Yassin menyatakan sokongan penuh kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan serta berharap beliau dapat menggalas tanggungjawab itu sebaik mungkin untuk kesejahteraan rakyat dan negara.
Menerusi hantaran di Facebook, bekas Perdana Menteri itu memaklumkan beliau menerima kunjungan Ismail Sabri di kediamannya petang tadi.
Sehubungan itu, beliau menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Ahli Parlimen Bera itu di atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri.
“Selain itu, saya memberi sokongan penuh kepada beliau dan insya-Allah akan terus membantu kerajaan Perikatan Nasional (PN) menyampaikan khidmat yang terbaik kepada rakyat, khususnya dalam tempoh pemulihan negara.
“Saya mendoakan semoga YAB Datuk Seri Ismail Sabri akan dapat menggalas amanah kepimpinan dengan sebaik mungkin dan mengemudi negara ke mercu kejayaan,” katanya.
Terdahulu, Ismail Sabri mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, hari ini.
Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara kira-kira jam 2.30 petang tadi. – Malaysiapost

