Sultan Kedah harap bencana banjir besar dijadikan iktibar

0
2

SULTAN Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menzahirkan dukacita terhadap tragedi banjir besar akibat fenomena kepala air di Gunung Jerai, Rabu lalu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Bakar Din menerusi kenyataan dikeluarkan Pejabat Tuanku Sultan Kedah, berkata baginda berharap tragedi itu menjadi iktibar kepada semua pihak supaya menghargai khazanah alam semula jadi serta memulihara alam sekitar.

Beliau berkata, baginda turut bertitah agar rakyat di kawasan terlibat bencana sentiasa berhati-hati dengan mengutamakan keselamatan diri dan keluarga serta mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diarahkan berpindah.

“Baginda berpesan agar mangsa terlibat turut mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk mengelakkan penularan wabak Covid-19 kalangan mereka,” katanya.

Bakar berkata, Sultan Sallehuddin turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa terlibat dan berharap agar mereka bersabar dan tabah menghadapi dugaan ini.

“Baginda berharap dan berdoa agar individü yang masih hilang dalam kejadian itu dijumpai dalam keadaan selamat,” katanya.

Katanya, baginda turut menzahirkan penghargaan kepada kerapan negeri Kedah, kerajaan Persekutuan, agensi kerajaan, petugas keselamatan serta syarikat swasta dan individu yang mengambil tindakan segera membantu mangsa tragedi.

“Baginda juga menzahirkan ucapan penghargaan kepada negeri-negeri lain yang menghulurkan bantuan kepada Kedah. Semoga Allah SWT dapat memberikan ganjaran buat mereka semua,” katanya.

Dalam kejadian Rabu lalu, penduduk di beberapa kampung di sekitar Yan, Gurun dan Tupah dilanda banjir berikutan kejadian limpahan air deras dipercayai akibat kejadian kepala air dari beberapa kawasan peranginan air terjun di kaki Gunung Jerai. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here