KETUA Puteri Umno, Datuk Zahida Zarik Khan meminta Presiden Amanah Mohamad Sabu terus tabah dan memberi sumbangan idea kepada kerajaan baharu untuk mentadbir negara.
Zahida berkata, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu sepatutnya perlu berkecil hati terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi punca kerajaan Pakatan Harapan (PH) runtuh.
“Mohon Abang Mat tabah, dan teruslah sumbang idea, semak imbang demi kebaikan negara. Beri ruang kerajaan ‘Mandat Istana’ buat yang terbaik untuk rakyat.
“Abang Mat sepatutnya terguris kecil hati pada Tun M yang runtuhkan kerajaan PH dulu,” tulisnya ringkas di Facebook.
Zahida berkata demikian mengulas laporan media berhubung kenyataan Mat Sabu yang kecil hati dan terguris apabila parti yang tidak mendapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kembali semula sebagai kerajaan.
Mat Sabu dalam kenyataan semalam berkata, rakyat telah melihat proses pilihan raya untuk memilih kepimpinan negara menjadi sia-sia.
Jelasnya, proses demokrasi berparlimen di negara ini perlu diteguhkan semula bagi memberi keyakinan kepada rakyat.
“Ia juga agar ‘Peristiwa Sheraton Move 2020’ tidak akan berulang pada masa hadapan. Kalau berulang bermakna sistem yang kita pilih ini telah hancur dan perlu diperbaiki menjelang pilihanraya yang akan datang,” katanya.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Datuk Seri Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, keputusan itu ditetapkan Seri Paduka Baginda selepas Ismail Sabri menerima sokongan majoriti yang mencukupi iaitu seramai 114 Ahli Dewan Rakyat.
Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri dijadualkan berlangsung pada jam 2.30 petang di lstana Negara, hari ini. – Malaysiapost

