SEORANG pesara tentera membayar nazar dengan cara tersendiri apabila dia membotakkan kepalanya selepas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diumum sebagai Perdana Menteri semalam.
Tindakan itu dilakukan oleh Mohd Solahuddin Ahmad, 48, sebagai tanda kesyukuran apabila melihat negara kembali diterajui pemimpin yang mendapat sokongan majoriti ahli parlimen selepas berlaku kemelut politik baru-baru ini.
Menurutnya, dia terus membotakkan kepalanya dengan menggunakan mesin memotong rambut selepas menonton berita di televisyen jam 8.30 malam tadi yang melaporkan Ahli Parlimen Bera itu diumumkan sebagai Perdana Menteri ke-9 dengan majoriti 114 sokongan ahli parlimen.
“Ini merupakan cara saya membayar nazar selepas melihat kemelut politik yang berlarutan ketika pandemik Covid-19 di negara ini.
“Tiada sebarang kepentingan politik bagi saya untuk berbuat demikian. Cuma, saya juga bersyukur apabila kerajaan sebelum ini iaitu Pakatan Harapan tidak memperoleh majoriti yang cukup untuk membentuk kerajaan,” katanya memetik Kosmo Online.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, keputusan itu ditetapkan Seri Paduka Baginda selepas Ismail Sabri menerima sokongan majoriti yang mencukupi iaitu seramai 114 Ahli Dewan Rakyat.
Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri dijadualkan berlangsung pada jam 2.30 petang di lstana Negara, hari ini. – Malaysiapost

