“SIAPA-siapa yang tengah cari, boleh WhatsApp Caprice, nombor ada dekat Instagram (IG),” kata penyanyi rap, Caprice.
Kenyataan tersebut dipercai mempunyai kaitan dengan tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memohon bantuan Interpol bagi berhubung dengannya serta Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.
“Orang kata ada pihak cari kita? Siapa-siapa tengah cari, polis, Interpol, mak mentua, Zizan untuk keychain Firaun, boleh WhatsApp Caprice,” katanya.
Semalam, media melaporkan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, sehingga kini pihaknya belum memperoleh tarikh untuk mengambil keterangan kedua-dua mereka.
Beliau berkata, PDRM telah menghubungi Caprice dan Muhammad Nadir melalui e-mel namun gagal mendapatkan maklum balas daripada kedua-dua mereka.
“Sehubungan itu, kita telah mohon bantuan Interpol untuk berhubung dengan mereka,” katanya.
Terdahulu, proses merakam keterangan kedua-dua mereka akan dilakukan secara dalam talian susulan laporan yang dilakukan pendakwah terkenal, Ebit Lew di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Keterangan itu akan dilakukan bagi siasatan mengikut Seksyen 500 serta 504 Kanun Keseksaan selain Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sebelum ini, pendakwah tersebut membuat laporan polis berhubung tuduhan yang dibuat beberapa individu terhadapnya menerusi laman sosial baru-baru ini di IPD Dang Wangi.
Dalam laporan polis itu juga, beberapa nama individu termasuk ketua pegawai eksekutif sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dan Caprice turut dinyatakan. – Malaysiapost

