Pelantikan PM ke-9, Malaysia sekali lagi lakar sejarah

0
2

HARI ini, sekali lagi catatan sejarah negara tercipta apabila Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.

Istiadat tersebut yang akan berlangsung jam 2.30 petang itu, diadakan di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ismail Sabri adalah Ahli Parlimen ketiga mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) selepas Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ahli Parlimen Bera berusia 61 tahun itu dijangka ditemani isteri beliau, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin.

Dijangka turut hadir pada istiadat berkenaan ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

Difahamkan, selepas istiadat selesai, Ismail Sabri perlu berada di Ibu Pejabat Umno di Menara Dato’ Onn untuk menghadiri Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.

Apa yang pasti perhatian kini akan tertumpu kepada kabinet yang bakal dibentuk Ismail Sabri, susulan sokongan bersyarat yang Perikatan Nasional (PN) yang mahu Kabinet terdiri daripada individu mempunyai integriti tinggi.

Pastinya ia bukan tugas mudah bagi Ismail Sabri, memandangkan Malaysia ketika ini masih berdepan krisis kesihatan kritikal dengan menyaksikan jumlah jangkitan wabak Covid-19 yang semakin meningkat.

Walau apa pun cabaran, Ismail Sabri perlu membuktikan keupayaannya mengemudi Putrajaya sekali gus memulihkan kembali imej dan kepercayaan rakyat terhadap Umno.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri yang baharu.

Pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri itu adalah susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kehilangan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat pada 16 Ogos lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here