KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri ke-9.
Menerusi kenyataan malam tadi, Anwar berkata, beliau yang mewakili pembangkang mengambil maklum keputusan yang dibuat Al-Sultan Abdullah.
“Dengan penuh takzimnya saya mewakili Pembangkang keseluruhannya menjunjung kasih ke atas titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di atas pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.
“Kami mengambil maklum bahawa keputusan ini dibuat menurut lunas-lunas Perlembagaan, demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang kita amalkan,” kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, Anwar berkata, pelantikan Ismail Sabri itu disifatkan sebagai cabaran untuk pembangkang bekerja lebih gigih bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Marilah kita sama-sama berdoa dan berusaha supaya krisis wabak Covid-19 dan ekonomi segera diatasi dan ditangani demi rakyat.
“Buat semua pimpinan, anggota dan pendukung, kami menggesa semua untuk menerima keputusan ini dengan kecekalan yang jitu untuk bekerja lebih gigih menuju PRU15, agar kita dapat memenangi semula mandat rakyat yang telah kita terima pada Pilihan Raya Umum yang lalu,” katanya.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al- berkenan melantik Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.
Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, keputusan itu ditetapkan Seri Paduka Baginda selepas Ismail Sabri menerima sokongan majoriti yang mencukupi iaitu seramai 114 Ahli Dewan Rakyat. – Malaysiapost

