AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa setakat ini tidak wujud kluster kes Covid-19 membabitkan peserta ‘Perhimpunan Lawan’ kerana ia dibuat mengikut prosedur operasi standard (SOP).
Menurutnya, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sendiri memaklumkan setakat ini belum ada kes Covid-19 membabitkan peserta Perhimpunan Lawan.
Beliau berkata, maka tidak timbul isu protes rakyat melalui perhimpunan aman menyebabkan Covid-19 merebak seperti didakwa ramai pihak terutama ‘cybertrooper’.
“Ya, ini benar. Perhimpunan Lawan yang disertai lebih 2,000 orang pada 31 Julai itu tidak ada kes penularan wabak pandemik langsung.
“Macam mana boleh macam tu? Sebab penganjur memang jaga pergerakan peserta. Ada SOP, ada kawalan, ada sokongan marshall dan kumpulan jaga trafik.
“Jadi, tak ada kluster pun seperti yang ‘cytro’ dakwa,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Syed Saddiq berkata, perhimpunan aman dibuat kerana kerajaan gagal urus Covid-19 dan apabila gagal rakyat bersuara.
“Ada saluran lain untuk bersuara? Jawapannya tidak ada. Apa yang tinggal untuk rakyat bersuara?
“Parlimen ditutup. Menteri tak dengar rakyat mengeluh. Saya nak pergi bertugas di Parlimen pun disambut oleh sekumpulan batalion FRU. Jadi apa saluran yang ada?” soalnya.
Menurutnya, rakyat tidak bodoh dan menerima apa sahaja yang dilakukan kerajaan walaupun ia adalah sesuatu yang gagal.
“Rakyat bukan seperti lembu yang dicucuk hidungnya. Rakyat ada kuasa. Rakyat ada hak.
“Jangan tunggu PRU (Pilihan Raya Umum) baru nak bertuankan rakyat,” katanya. – Malaysiapost

